Gema tepukan memenuhi atmosfera Dewan Tun Razak 2,PWTC.
Bukan kehadiran Dato' Mukhriz Mahathir yang menjadi perhatian,namun gerakan lincah anak muda yang menggelarkan diri mereka anggota Parkour Malaysia.Fitrah remaja penuh bertenaga dengan 1001 potensi yang unik,dizahirkan menerusi tema Hari Belia 2010...
Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara

29 Mei:Mencari Al-Fateh di Youth '10
Janggal benar pencarian Al-Fateh saya hingga menerjah Youth '10 Festival yang berlangsung di PWTC yang jauh dari bumi Turki pemilik sejarah dan penyimpan jasad tokoh itu.Mencari aura belia di situ,demi menulis mengenai sejarah orang muda bernama Al-Fateh.Apakah ibrah yang saya kutip di sana?


1)Sinergi
Youth '10 ialah satu acara belia berskala besar anjuran YouthSays.com.Mustahil acara sebesar ini,dihadiri nama-nama penting seperti Menteri Belia & Sukan,Dato' Mukhriz,Dato' Siti,CEO Maybank dan Celcom dibuat tanpa perancangan teliti oleh sekumpulan manusia bernama ahli jawatankuasa penganjur.

Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.
Hadis Nabi yang meramalkan pembukaan Konstantinopel telah mengajar kita mengenai kuasa SINERGI. Kepintaran Sultan Muhammad Al-Fateh seorang belum mampu menembusi benteng Konstantinopel berlapis dua setinggi 10-15 meter itu tanpa gandingan yang mantap bersama panglima dan 250 ribu orang tenteranya.

2)Sejarah Bukan Sekadar Hafalan
Salah satu seminar yang saya hadiri di Youth '10 disampaikan oleh Roshan Thiran,pengasas Leaderonomics. Apa yang menarik perhatian ialah pengalaman beliau bekerja di General Electrics(GE)sedikit sebanyak ada persamaannya dengan kisah Al-Fateh.

Beliau pernah gagal dalam satu tugasan menggabungkan 3 syarikat di usia 23 tahun dan GE meminta tunjuk sebab daripadanya selepas 3 hari.Akhirnya beliau mengakui kesilapan beliau sendiri,tidak memahami budaya kerja syarikat berkenaan di samping jurang generasi yang menyukarkan urusan.Di usia 21 tahun,Al-Fateh telah mendalami sejarah tamadun lampau dan menganalisis sejarah kegagalan usaha menawan Konstantinopel yang dimulakan oleh Abu Ayub Al-Ansari.

Roshan pernah mencapai taraf menaiki limosin ke tempat kerja,namun GE telah menukarkannya ke London untuk tugasan baru yang mengajarnya usah menjadi cepat selesa dengan kejayaan.Kerajaan Uthmaniyah telah menikmati beberapa kejayaan membuka kota Islam yang baru sambil menghimpit kerajaan Byzantine,namun Al-Fateh masih belum puas dengan semua itu terkenal dengan pidatonya...
Khabarkan pada raja kamu (Constantine XI) bahawa Sultan Usmaniah sekarang adalah sangat berbeza dengan sebelumnya. Sesungguhnya keinginanku jauh mengatasi keinginan mereka. Kekuatanku jauh mengatasi kekuatan mereka (generasi terdahulu).

3)Teknologi
Youth '10 memanfaatkan sepenuhnya kegilaan muda mudi terhadap teknologi dengan promosi besar-besaran di Facebook dan Twitter walaupun Facebook baru dilanda kontroversi Everyone Draw Mohammed Day.

Selain menguasai 7 bahasa,Al-Fateh juga mengimport teknologi meriam tercanggih ketika itu ciptaan Urban saintis Hungary,musuh ketat Usmaniah.Selain memiliki ilmu ketenteraan yang lengkap,Al-Fateh juga menyempurnakan kejayaan pembukaan Konstantinopel dengan bantuan ilmu geografi dan cuaca.

Lakarkan Sejarahmu Anak Muda



Bulan Mei bakal diangkat menjadi Bulan Belia,yang menyaksikan suka duka sejarah umat Islam.

15 Mei Hari Belia meriah di Malaysia bumi bertuah,umat terluka Palestin berduka dengan Nakbah.

Al-Fateh dan para tenteranya yang terbaik menjadi sebutan Nabi tidak bisa bangkit dari kubur untuk mempertahankan umat ini,hatta Zionis laknatullah itu bermaharajalela umpama Ya'juj & Ma'juj di akhir zaman.

Anak muda,berperibadilah seperti Al-Fateh kerana di tangan kita ada masa depan umat!