Hanya semalam,mengapa perlu disusahkan kita berpuasa hingga sebulan?Begitulah Ramadan mendapat gelaran MADRASAH,kerana ia bukan rutinisasi puasa dan solat terawih hingga kita tidak kenal makna dan hikmah dari ibadah-ibadah ini.Ianya PENDIDIKAN!

1.Puasa
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa[Al-Baqarah:183]

Taqwa disebut sebagai tujuan kewajipan puasa,taqwa yang bagaimana?Puasa bukan sekadar menahan lapar,dahaga dan syahwat,bahkan ia mengajarkan kita beriman dengan Allah yang bersifat Ar-Raqib [Maha Memerhati].Walaupun kita punya 1001 kesempatan untuk berbuka puasa tanpa dilihat orang lain,namun apakah yang menghalang kita daripada melakukannya?

Puasa itu mendidik jiwa agar sabar dan syukur.Tidak terhad kepada sabar menanti waktu iftar dan syukur dengan deretan juadah yang terhidang,ia mendidik kita agar sabar menunduk nafsu perut dan syahwat dari berbuat maksiat. Syukur dengan nikmat hidup yang masih boleh kita nikmati dengan makanan dan kesihatan, sedangkan ada saudara kita yang masih kebuluran ataupun terhalang dari menikmati makanan lazat dek sebab kesihatan yang tidak mengizinkan.

2.Solat Terawih
8 atau 20 tidak perlu dibalahkan,pilihlah yang sesuai dengan kudrat dan khusyuk masing-masing.Setelah mengisi 30/29 malam Ramadan dengan Terawih yang mencecah ratusan rakaat,tanya pada diri untuk apa semua ini?



Lukisan Bapak Nana Banna
Agar hati dan jasmani ini AKRAB dengan solat.Supaya 11 bulan yang mendatang kita gagah cergas tika azan diserukan dan solat mahu didirikan.Mahukah kita bersolat seperti orang munafiq yang sambil lewa dicela Allah 'Azza Wajalla?

3.Iftar/Berbuka Puasa
Rebutlah waktu mustajab berdoa menjelang waktu iftar.

Sunnah Rasulullah berbuka dengan beberapa biji kurma langsung solat Maghrib sebelum makan hidangan berat.Namun,kiranya nasi ayam,ayam golek,roti john telah terhidang,air sirap bandung dan jagung menanti di hujung meja,silakan menjamu selera terlebih dahulu.

Khusyuk solat diutamakan,menjamu iftar didahulukan!

4.Sahur
Si bujang menyantap 'sahur' sebelum tidur.Inikah sahur sebenar?
 Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur[Ali Imran:17]
Banyakkan memohon keampunan di samping menjamu makanan.Peluang bangun lebih awal dari kebiasaan isilah dengan solat-solat sunat,tilawatul Quran atau sekadar zikir.Sunnah melewatkan makan sahur itulah yang diajar Nabi,bukan makan sebelum bermimpi.

5.Tilawah+Tadarus Al-Quran
Malang sungguh pada bulan turunnya Al-Quran,kita mensia-siakan peluang bertilawah sepuas-puasnya. Berilah makna dan kelainan tilawah kali ini,sertakan usaha untuk memahami maksud ayat yang kita baca dan sedikit tafsirannya.

Jika tilawah untuk penghayatan kendiri,tadarus kita mendidik jiwa agar mudah mengakui kesilapan dan menerima teguran.Dalam kepelbagaian latar belakang ahli tadarus,peri penting untuk setiap ahlinya bersikap terbuka antara satu sama lain dalam prioriti belajar pembacaan Al-Quran yang betul.

Antara Takut & Harap
Allahu Allah,sungguh hamba-Mu yang kerdil ini belum memanfaatkan Ramadan 1431H yang berlalu. Betapa masih banyak noda yang tersisa,sedangkan hanya sedikit pahala yang ku raih pada Ramadan ini. Masih ada waktu buatku bersua Ramadan 1432H pula?
Sebaik-baik ucapan di Aidilfitri

Ya Rahman Ya Rahim,walau sedikit amalanku terimalah hendaknya,jangan Kau tolak.Andai ada doa kupohonkan makbulkanlah jangan Kau ketepikan,wahai Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah. Berilah kesempatan kepadaku untuk bertemu Ramadan 1432H…

Hanya sekadar refleksi tazkirah Subuh 27 Ramadan oleh Ustaz Zulkifli Ahmad di Madrasah Hidayah.