'Muzik yang kamu dengar akan beri pengaruh pada jiwa kamu,'pesan Ustazah usai pertemuan dengannya di suatu petang.

Seolah-olah Ustazah faham jiwa orang muda seperti kami,sukakan hiburan apatah lagi bernama MUZIK.

Muzik Fitrah,Kefahaman Mentah
Satu kebetulan konsert Adam Lambert baru-baru ini dianjurkan begitu dekat jaraknya dengan kedatangan Maher Zain ke Malaysia.Begitu istimewa kerana kedua-dua penyanyi lelaki ini didatangkan dari Barat,namun muzik dan pakej yang mereka bawa bagai langit dan bumi perbezaannya.Seorang berjenama Hollywood popular dengan identiti gay,seorang lagi berjenama Awakening Records baru sahaja berhijrah bertemu fitrah.

Seorang disambut dengan bantahan,seorang lagi disambut dengan kemeriahan.

Wasilah dakwah kata para pendakwah maya mahupun di alam nyata.

Tetapi semuanya hilang makna gara-gara segelintir Muslimat terlebih galak menyambut kedatangan Maher Zain, lebih menyakitkan realitinya berlaku di tempat bernama Taman Ilmu dan Budi!Molek juga penganjur mengingatkan hadirin yang ghairah sebelum konsert atas nawaitu murni ini dimulakan dan terpalit cemar dek kerana gelagat segelintir peminat yang hadir.


Nafas Baru Muzik Fitrah Islami
'Islam Agama Fitrah & Mudah' bukanlah slogan yang mudah diterjemahkan realiti dunia akhir zaman kini. Propaganda musuh Islam bersinergi dengan kecamuk kefahaman umat Islam sendiri mengenai Islam tambah memburukkan keadaan.Islam tidak pernah menyekat hiburan secara total,kerana hiburan itu timbul dari fitrah manusia yang suka kepada keindahan dan kesempurnaan.
Jiwa subur remaja memang memerlukan hiburan.Remaja yang terhibur akan lebih tenang,yakin dan ceria. Hiburan yang diperlukan oleh remaja ialah hiburan yang meningkatkan rasa hati terhadap perkara-perkara yang merangsang jiwa ke arah kebaikan di samping membentuk minat dan keinginan melakukan hal-hal yang makruf dalam kehidupan (Wahai Remaja 2007,Prof. Dr. Sidek Baba m/s 45)
Di belahan bumi terbenamnya mentari,telah muncul angkatan seni khususnya seni muzik kembali kepada fitrah seperti Yusuf Islam,Sami Yusuf dan Maher Zain menambah senarai.Di tanah seberang tidak kurang hebatnya hijrah sebegini dan tumbuhnya kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari seperti Opick,Edcoustic,Tashiru dan Izzatul Islam.Moga-moga tanah airku tercinta tidak kering tenaga daie kreatif sebegini…




Pelbagai genre dan jenama,nawaitu di hati LILLAHI TAALA!